Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Muzium Tekstil Negara

Tahukah Anda?

Anda berada di: Laman Utama > Mengenai Muzium > Sejarah

Sejarah


Muzium Tekstil Negara ditempatkan di Bangunan JKR 26 di Lot 50 Seksyen 70, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur. Seni bina bangunan ini berunsurkan Mughal-Islam. Muzium ini mempunyai jalur-jalur merah dan putih yang tersendiri hasil daripada batu-bata merah dan putih yang diselang-selikan dengan plaster, mencirikan adaptasi gaya seni bina Moghul -Islam. Pintu masuk muzium yang berhadapan dengan Jalan Sultan Hishamuddin terdiri daripada dua tiang berbentuk segiempat bujur yang menganjur keluar dari dinding yang berbumbungkan kubah. Terdapat dua menara yang berbentuk oktagon di sisi bangunan. Di setiap menara tersebut terdapat sebuah kubah konkrit yang dikelilingi oleh kubah-kubah kecil. Pada tahun 2008, ruang lobi berkaca telah ditambah pada bangunan tersebut dan dijadikan sebagai pintu masuk utama ke muzium.

Arkitek Inggeris iaitu A.B. Hubback mereka bentuk bangunan ini dan dibina bergandingan dengan bangunan Sultan Abdul Samad pada 1896. Bangunan ini telah dijadikan  sebagai Ibu Pejabat Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1905.  Pada tahun 1917, bangunan ini diserahkan kepada kerajaan Selangor dan dijadikan  Jabatan Kerja Raya Selangor.  Bangunan ini seterusnya telah diduduki oleh Jabatan Kerja Air Selangor, Bank Negara dan Bank Pertanian dari tahun 1959 hingga 1980 sebelum diserahkan kepada Urban Development Authority Holdings Berhad (UDA) pada tahun 1981.  Pada tahun 1986, bangunan ini telah disewa oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sebagai tempat memperagakan barangan seni dan kraf serta dijadikan Muzium Tekstil.  Dari tahun 2001 sehingga 2004, ia berfungsi sebagai Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas) dan Galeri Kehakiman sebelum diberi laluan kepada pembinaan Muzium Tekstil Negara pada bulan Oktober 2007 sebagai susulan kebenaran dari  Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Julai 2005 bagi Memorandum daripada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan No. 527/2468/2005 mengenai cadangan penubuhan untuk Muzium Tekstil Negara.

Bangunan Muzium Tekstil Negara adalah bangunan 2 ½ tingkat dengan keluasan tanah 3259m2 dan keluasan lantai 3145.3m2, telah diwartakan pada 13 Oktober 1983 sebagai bangunan bersejarah melalui Warta Kerajaan P.U. (A) 423, Perintah Monumen Lama dan Tapak Tanah Bersejarah (No. 3), Akta Bendapurba 1976. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui Jabatan Muzium Malaysia telah mengendalikan pelaksanaan projek ‘Cadangan Kerja Konservasi, Pengisian Pameran dan Reka Bentuk Dalaman untuk Muzium Tekstil Negara Kuala Lumpur, bermula dari Ogos 2007 sehingga siap sepenuhnya pada Jun 2009. Muzium ini telah dibuka kepada orang ramai pada 9 Januari 2010.

Dikemaskini Pada 03 Apr 2013 | 09:21pg (33291 Hits)