Zandra Rhodes
Sebagai salah seorang pereka British “Aliran Baru,” Zandra Rhodes telah merevolusikan dunia fesyen dan meletakkan London di barisan hadapan persada fesyen antarabangsa sejak tahun 1970an. Zandra yang dilahirkan di Kent, England pada tahun 1940, mula mengenali dunia fesyen menerusi ibunya, yang merupakan seorang pengubahsuai pakaian di Rumah Rekaan Fesyen Worth di Paris dan juga pensyarah fesyen di Kolej Kesenian Medway. Setelah mempelajari rekaan tekstil di Medway dan juga di Kolej Kesenian Diraja, Zandra pada awalnya memulakan kerjayanya sebagai seorang pereka tekstil. Tidak lama kemudian, Zandra mencipta bentuk rekaan fesyennya yang tersendiri, dengan mengajar dirinya untuk menghasilkan pakaian dengan ketetapannya sendiri. Latarbelakangnya di dalam rekaan tekstil menjadi sumber utama dalam pembuatan pakaiannya, kerana beliau membenarkan corak rekaan tekstil tersebut mempengaruhi bentuk pakaian. Rekaan beliau juga dipengaruhi pelbagai hasil seni, termasuklah lukisan oleh seniman tersohor seperti Kandinsky, Modigliani dan Matisse, sehinggalah ke pakaian era Elizabeth di Muzium Victoria dan Albert, topi sombrero Mexico, serta pin keselamatan dan pakaian lusuh dari era punk London pada tahun 1970an.