Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Muzium Tekstil Negara

Tahukah Anda?

Anda berada di: Laman Utama >


Bicara Tekstil - Jalinan Cinta Tekstil Sepanjang Hayat
Tarikh: 13 Nov 2013
Lokasi: Bilik Tayangan

Zandra Rhodes

Sebagai salah seorang pereka British “Aliran Baru,” Zandra Rhodes telah merevolusikan dunia fesyen dan meletakkan London di barisan hadapan persada fesyen antarabangsa sejak tahun 1970an. Zandra yang dilahirkan di Kent, England pada tahun 1940, mula mengenali dunia fesyen menerusi ibunya, yang merupakan seorang pengubahsuai pakaian di Rumah Rekaan Fesyen Worth di Paris dan juga pensyarah fesyen di Kolej Kesenian Medway. Setelah mempelajari rekaan tekstil di Medway dan juga di Kolej Kesenian Diraja, Zandra pada awalnya memulakan kerjayanya sebagai seorang pereka tekstil. Tidak lama kemudian, Zandra mencipta bentuk rekaan fesyennya yang tersendiri, dengan mengajar dirinya untuk menghasilkan pakaian dengan ketetapannya sendiri. Latarbelakangnya di dalam rekaan tekstil menjadi sumber utama dalam pembuatan pakaiannya, kerana beliau membenarkan corak rekaan  tekstil tersebut mempengaruhi bentuk pakaian. Rekaan beliau juga dipengaruhi pelbagai hasil seni, termasuklah lukisan oleh seniman tersohor seperti Kandinsky, Modigliani dan Matisse, sehinggalah ke pakaian era Elizabeth di Muzium Victoria dan Albert, topi sombrero Mexico, serta pin keselamatan dan pakaian lusuh dari era punk London pada tahun 1970an.

 

Sebagai pengiktirafan ke atas sumbangannya kepada industri tekstil dan fesyen, Zandra dipilih sebagai Pereka Industri Diraja oleh Persatuan Seni Diraja British pada tahun 1994 dan turut dilantik menjadi Komander Empayar British oleh Permaisuri Elizabeth pada tahun 1997. Beliau juga pernah mereka pakaian untuk produksi Opera San Diego berdasarkan karya Wolfgang Mozart yang berjudul Seruling Sakti (2001), set dan pakaian untuk Penyelam Mutiara oleh George Bizet (2004 dan 2008), serta ditugaskan oleh Opera Kebangsaan Inggeris dan Opera Besar Houston untuk mereka set dan pakaian dalam Aida (2007) oleh Giuseppe Verdi. Pada 1999, Zandra telah menubuhkan Muzium Fesyen dan Tekstil di London, yang direka oleh arkitek Mexico bernama Ricardo Legorreta, dan ia memberi tumpuan kepada fesyen, tekstil dan barang kemas kontemporari British dan antarabangsa. Kini, Zandra masih mereka fesyen di studio-studionya di San Diego dan London, serta menghasilkan dua koleksi setiap tahun. Di samping itu, beliau turut bersyarah tentang pengalamannya di dalam industri fesyen. Objek-objek dari koleksi tetap Muzium Antarabangsa Mingei melengkapkan ilham dinamik Zandra. Rekaan geometri kain kuba Afrika, warna-warna dinamik sari India dan corak-corak rumit batik Indonesia menyerlahkan spektrum inspirasi rekaan tekstil dan pakaiannya.